Sunday, September 7, 2025

Diuji Hidap Kanser

 25 FEBRUARI 2025

Hidup selepas setahun disahkan kanser

Oleh : Nurul Fatihah Sulaini

PERJALANAN lebih setahun bergelar pesakit kanser sejak disahkan mengidap kanser payudara tahap tiga pada November 2023 memberi satu pengalaman baru serta mengubah pandangan penulis terhadap kehidupan.

Bagi penulis, ini adalah anugerah Allah SWT apabila dipilih untuk menerima penyakit kritikal dalam keadaan badan dirasakan sihat tanpa ada sebarang masalah kesihatan lain.

Segalanya bermula apabila penulis menyedari timbul satu ketulan kecil pada bahagian dada sebelah kanan ketika menyusukan anak bongsu ketika itu berusia hampir dua tahun.

Pada awalnya disangka itu sekadar bengkak susu dan mungkin ketulan berkenaan akan kembali surut pada bila-bila masa namun keadaan tidak berubah dari sehari ke sehari.

Penulis membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta sebelum merujuk ke Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BestARi), Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan bagi pemeriksaan lanjut.

Siapa sangka keputusan hasil pemeriksaan beberapa ujian mammogram, ultrasound serta biopsy mengesahkan penulis mengidap kanser payudara.

Riak wajah tenang Pegawai Perubatan BestARi, Dr Nur'atikah Admam@Adnan saat menyampaikan keputusan itu menimbulkan perasaan bercampur baur terkejut, risau, takut kerana dalam fikiran penulis itu sekadar ketulan itu biasa.

Namun penulis bertuah kerana mempunyai sokongan kuat daripada keluarga termasuk suami, anak-anak, ibu, mertua serta saudara mara tidak putus memberikan semangat untuk kembali sihat.


Dengan adik Muhamad Syahmi Dhani bin Muhamad Supardi..masa ni adik umur 3 tahun lebih join fun walk Pink Oktober dengan Umi Dan abang Saif Al Fateh di Kota Bharu, Kelantan


Cabaran lalui proses rawatan

Penulis juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kesan sampingan sepanjang melakukan proses rawatan kimoterapi sebanyak lapan kali.

Diakui kekuatan mental untuk kembali sembuh adalah kekuatan sebenar setiap pesakit kanser berjuang melawan penyakit kerana perlu menghabiskan setiap kitaran rawatan mengikut nasihat doktor.

Sejujurnya, penulis sendiri hampir mengaku kalah untuk meneruskan rawatan kimoterapi kali ke lima kerana bimbang kesan sampingan rawatan lebih teruk berbanding sebelumnya.

Sepanjang melalui proses rawatan saat selepas kimoterapi kali pertama rambut sudah mula gugur, muntah, pening, loya, tiada selera makan serta pelbagai kesan lagi yang turut membuatkan emosi tidak stabil.

Paling meruntun jiwa pengorbanan ibu penulis, Zamilah Mohamad,67, sanggup berulang alik dari Kerteh, Kemaman ke Besut setiap tiga minggu untuk menjaga penulis turut menguatkan semangat berjuang sehingga sihat.

Pengalaman berjauhan dengan suami Muhamad Supardi Harun, 39, anak-anak Muhamad Saif Al Fateh, 10 serta Muhamad Syahmi Dhani, 4, ketika dimasukkan ke hospital seminggu untuk pembedahan antara pengorbanan dilakukan untuk sembuh.

Proses rawatan terakhir pada penghujung Oktober 2024 iaitu radioterapi sebanyak 15 kali  turut memberi kesan sampingan hingga menimbulkan rasa pedih apabila kulit melecet, terbakar serta mengambil masa untuk kembali sembuh.



Masa ni tunggu nak buat radioterapi baring dekat atas mesin belakang tu



Dalam proses rawatan


Aura positif

Bagi menjaga minda serta pemikiran kekal positif penulis mula bergaul dengan sahabat sukarelawan positif, bekas-bekas pesakit yang kuat semangat berjaya melalui rawatan hingga sembuh.

Apabila berkongsi perasaan dengan insan senasib mereka lebih memahami setiap kesakitan, ujian serta perasaaan empati lebih tinggi berbanding dengan mereka tidak melaluinya.

Antaranya badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai Kumpulan Sokongan Kanser Wanita (KAWAN) di bawah Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (ReHAK) dan Kelab Kanser Payudara Kelantan (Kedara).