Tuesday, May 27, 2014

Mekanik wanita buktikan kemampuan.(Inspirasi usahawan wanita).

Wanita Oh Wanita (wow).

Menukar Haluan.

Mekanik wanita buktikan kemampuan.

NURUL FATIHAH SULAINI.
SINAR HARIAN.

Wan sedang melakukan tugasan rutin di bengkel miliknya.

Profil.
Nama: Wan Mas Diana Mezlan.
Umur: 31 tahun.

Pendidikan: Sijil Kejuruteraan Mekanikal Plastik di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Automotif (tahap satu dan dua), sijil SKM Teknologi baikpulih dan mengecat kenderaan (tahap satu dan dua) Pusat Giat Mara, Jitra.(kini dikenali sebagai Giat Mara Prima Kubang Pasu).

Jawatan: Pemilik bengkel mengecat kenderaan, Perfect Harmony Enterprise, Alor Setar.

Bilangan adik-beradik: Anak sulung daripada lima beradik.

Asal: Alor Setar, Kedah.

--------------------------------------------------------------------------------------

Kebanyakan wanita lazimnya lebih tertarik kepada bidang kerja yang berketrampilan segak bergaya, berpakaian cantik mengikut fesyen terkini, bersolek, jarang sekali di antara mereka berminat menceburkan diri dalam bidang kerjaya dimonopoli lelaki apatah lagi perlu bergelumang dengan habuk dan cat untuk mencari kepuasan diri.

Bukan mudah untuk melibatkan diri dalam bidang yang jarang diterokai kalangan wanita lain, namun cabaran itulah yang menjadikan seorang beliawanis di sini, gigih berusaha bagi mencapai impiannya.

Pemilik bengkel mengecat kenderaan, Wan Mas Diana Mezlan, 31, kecenderungannya untuk memilih bidang berkenaan didorong oleh dirinya sendiri yang berminat mendalami dunia mencabar walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada keluarga.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, walaupun lahir di tengah-tengah kelompok adik beradik perempuan hanya yang bongsu sahaja lelaki, namun itu semua tidak menjadi penghalang kepadanya untuk membuktikan golongan wanita juga mampu berdiri seiring dengan kaum lelaki menerokai bidang berkenaan.

Bagi dirinya di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Pernah cat basikal ketika kanak-kanak.

Pengalaman pertama terlibat dalam kerja-kerja mengecat ini bermula sejak dari zaman kanak-kanak. Maklumlah pada masa itu, kehidupan kami sekeluarga susah. Saya
teringin memiliki sebuah basikal yang cantik seperti rakan-rakan lain. Mahu bapa belikan basikal yang baru tidak mungkin kerana adik beradik ramai, jadi saya hanya minta bapa belikan cat untuk mengecat semula basikal lama.

Walaupun masih kecil dan tidak ada pendedahan awal dalam bidang ini tetapi saya sanggup mengecat sendiri basikal. Hasilnya memang tidak terlalu elok tetapi saya tetap berpuas hati kerana dapat menjadikan basikal lama saya nampak baru untuk berulang alik ke sekolah.

Tidak serasi bekerja makan gaji.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya menyambung pelajaran di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra dalam bidang Sijil Kejuruteraan Mekanikal Plastik. Pada mulanya saya berhasrat  melanjutkan pengajian dalam bidang sama di peringkat diploma namun belum ada kursus diploma yang ditawarkan dalam bidang berkenaan kerana baru sahaja diperkenalkan pada masa itu.

Disebabkan itu saya terpaksa mengganggur hampir beberapa bulan. Jika diikutkan saya jenis tidak boleh duduk diam tambahan pula sejak dari kecil  jenis seorang yang suka berdikari mencari duit poket sendiri, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban keluarga. Saya pernah bekerja mengambil upah membancuh air di dua kedai berbeza semata-mata mahu mendapat wang tambahan. Pagi bekerja di kedai lain sementara malam pula di tempat berbeza, termasuk berniaga burger.

Saya mula mencari kerja bersesuaian dengan kelulusan dalam bidang kejuruteraan. Berkat lama mencari akhirnya  diterima masuk bekerja di sebuah kilang bahagian stor serta turut menyelia juruteknik mengendalikan kilang. Pada mulanya seronok kerana kerjanya mencabar namun lama-kelamaan mula rasa diri tidak serasi bekerja makan gaji sebaliknya ingin bekerja sendiri.

Bagi merialisasikan impian itu, saya mencari jalan untuk menambah kemahiran diri. Pada mulanya memohon untuk mengikuti kursus sijil Automotif tahap satu di Pusat Giat Mara Kuala Kedah, namun permohonan awal saya tidak berjaya. Berbekalkan semangat yang membara, saya tidak berputus asa sebaliknya kembali memohon mengikuti kursus sama di Pusat Giat Mara Jitra sesi berikutnya.

Syukurlah permohonan saya diterima walaupun menjadi pelatih tunggal wanita pada sesi itu. Bagaimanapun menurut tenaga pengajar, sebelum ini pernah ada pelatih wanita lain yang pernah mengikuti kursus berkenaan disebabkan itu juga saya diberi peluang untuk berbuat demikian.
Mungkin pada tanggapan masyarakat mereka yang mengikuti kursus kemahiran di giat mara hanya kalangan mereka yang lemah dalam akademik, namun bagi saya itu tidak menjadi masalah kerana memasang niat masuk ke pusat latihan berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh menambah kemahiran lain.
Minat yang mendalam terhadap bidang enjin membuatkan saya memutuskan untuk menyambung sijil automotif ke tahap dua. Selepas menamatkan kursus, saya mula sedar kos untuk memulakan perniagaan dalam bidang automotif memerlukan modal yang tinggi kerana menggunakan peralatan serta teknologi moden. Justeru saya membuat keputusan untuk masuk semula giat mara dengan mengambil sijil teknologi baikpulih kenderaan dan mengecat kenderaan.
Tempoh masa tiga bulan menunggu untuk diterima masuk semula ke pusat berkenaan, saya turut diberi peluang mengikuti kursus jangka pendek pemanduan dan mendapatkan lesen memandu bas. Walaupun pada masa itu tidak ada keperluan namun sebagai persediaan untuk meluaskan rangkaian perniagaan pada masa depan.
Mula usahakan bengkel sendiri.

Sebelum membuka bengkel mengecat kereta, Perfect Harmony Enterprise pada awal tahun lalu, saya terlebih dahulu membuka bengkel melalui program inkubator dalam kawasan pusat Giat Mara Jitra pada 2009. Pendedahan awal itu memberi saya banyak maklumat berguna untuk digunapakai dalam mengendalikan perniagaan sendiri.
Semasa di bengkel lama, selain mengecat kereta saya pernah diberi kepercayaan untuk mengambil upah mengecat bas mara.

Hasrat awal ingin membuka bengkel mengecat kenderaan di Yan tidak kesampaian kerana gagal mendapatkan tempat yang sesuai, akhirnya saya memilih untuk menyewa bangunan kedai di kawasan jalan Gangsa, Alor Setar. Bermodalkan kira-kira RM50,000 hasil pinjaman dan simpanan peribadi segala kerja mengubahsuai serta melengkapkan peralatan bengkel berjalan dengan lancar.
Pada peringkat awal, bengkel saya dibantu oleh empat orang pekerja kebanyakannya lepasan pelatih giat mara. Namun boleh dikatakan hampir saban tahun pekerja datang bersilih ganti kerana ada antara mereka berhenti kerana mendapat kerja di tempat baru. Justeru buat sementara waktu saya menguruskan perniagaan secara sepenuhnya bermula dari kerja operasi, kerani, baikpulih dan cat kereta.
Saya tidak nafikan sebagai wanita memang tidak dapat lari daripada merasai sendiri tempias berkecimpung dalam perniagaan ini yang ratanya diusahakan golongan lelaki. Tetapi yakinlah rezeki Allah itu sentiasa ada. Mungkin kerana lokasi bengkel berhampiran jalan utama memudahkan orang ramai untuk menyedari kewujudan bengkel ini.
Biarpun ada kalangan masyarakat mempertikaikan kemampuan wanita melakukan kerja seperti ini, namun ada juga yang memberi sokongan padu kerana bagi mereka wanita lebih teliti dalam mengutamakan kualiti hasil kerja mengecat kenderaan dilaksanakan sebaik mungkin mengikut permintaan pelanggan. Syukurlah sepanjang menceburi bidang ini belum ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan hasil kerja.
Bagi saya pelanggan dan kualiti kerja adalah perkara paling penting untuk memastikan perniagaan terus maju. Jika pelanggan minta perbetulkan atau tambah apa yang kurang saya lakukan mengikut kemampuan. Bekerja sendiri memang seronok kerana kepuasan lebih terasa. Namun tidak dinafikan kadang kala terpaksa berdepan dengan cabaran pelanggan lari daripada melunaskan bayaran sepatutnya.
Letak sasaran enam tahun kembangkan perniagaan.

Anak kepada pasangan Mezlan Mohd Noh, 56, dan Sharifah Nadra Syed Mohd Bakhir, 57, ini meletakkan sasaran enam tahun untuk kembangkan perniagaan ini termasuk memiliki sebuah bengkel milik sendiri dengan mempunyai halaman lebih luas untuk menempatkan lebih banyak kenderaan.
Dalam masa yang sama dia merancang untuk mengusahakan perkhidmatan bas persiaran sebagai pelaburan jangka masa depan. Keluarganya kini merestui dan menyokong sepenuhnya minat mendalamnya dalam dunia ini.

end/
Tips ceburi bidang perniagaan.

1. Mempunyai perancangan dan matlamat masa depan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
2. Sentiasa mementingkan kualiti hasil kerja yang dilaksanakan.
3. Percaya kepada kemampuan diri sendiri.
4. Rajin bertanya dan belajar benda baru untuk menambah kemahiran diri.
5. Bersedia mental dan fizikal untuk melakukan kerja yang turut dilakukan golongan lelaki.

No comments:

Post a Comment