Monday, May 26, 2014

Periksa Interaksi Sosial Si Manja Anda.

Sindrom asperger jejaskan interaksi sosial

Date: 3 November 2008

Ibu bapa harus peka jika anak mereka suka bersendirian dan terlalu obses dengan sesuatu

Si kecil anda bijak berkata-kata, tumbesarannya sempurna tetapi dia tidak pandai bergaul dan gemar membuat kerja yang sama berulang kali. Dia juga punya obsesi yang keterlaluan pada sesuatu. Misalnya, dia suka mengumpul batu. Pantang melihat batu, dia mesti mahu mengutipnya.

Pada anda, tiada salahnya dengan semua itu. Dia tidak perlu dirawat di hospital berbulan-bulan atau menjalani pembedahan. Anak anda sihat dan semua itu adalah sebahagian daripada proses pembesaran.

Anak anda memang sihat secara luaran tetapi dari segi dalamannya, dia mengalami gangguan neurobiologi dikenali sebagai sindrom asperger. Sindrom asperger bukan penyakit. Ia adalah gangguan dalam tumbesaran yang menjejaskan interaksi sosial.

Dalam dunia yang kebanyakan penghuninya sihat dan normal, penghidap sindrom asperger kerap kalinya tidak difahami hingga kadang kala membuat mereka tertekan dan murung.

Pakar Runding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Subash Kumar Raj, berkata ada banyak kes kanak-kanak sindrom asperger dianggap ganjil dan mengganggu tumpuan di dalam kelas.

Beliau berkata, mereka diasingkan hingga menyebabkan mereka tertekan dan murung kerana tidak difahami. Kegagalan guru dan rakan sekolah memahami mereka menambah lagi beban. Malah, beliau pernah berhadapan dengan remaja sindrom asperger yang cuba membunuh diri kerana tekanan.

"Selalunya kanak-kanak sindrom aspeger hanya dikesan waktu masuk sekolah, pada usia antara tujuh hingga sembilan tahun. Guru atau kawan-kawan melihat mereka sebagai pelik kerana suka bersendirian selain mengagumi sesuatu secara keterlaluan," katanya.

Dr Subash berkata, sindrom asperger cenderung dialami kanak-kanak lelaki dan termasuk satu daripada lima masalah dalam kumpulan gangguan tumbesaran dikenali sebagai 'pervasive developmental disorder' (PDD) yang dicirikan dengan kelewatan pembangunan fungsi asas sosial dan komunikasi.

Selain sindrom asperger, masalah lain dalam PDD adalah autism dan sindrom rett.

"Kanak-kanak yang berhadapan dengan sindrom asperger tiada masalah dari segi pertuturan tetapi bermasalah dari segi interaksi sosial dan tingkah laku. Misalnya kalau tinggal di pusat asuhan, dia tidak bergaul. Dia juga 'cakap lepas' kerana tidak tahu mengenai peraturan sosial," katanya.

Dr Subash berkata, jika bercakap kanak-kanak ini akan bercakap sama ada terlalu laju atau perlahan, intonasinya tidak betul, tiada hubungan mata (eye contact) dan tiada ekspresi wajah selain ada kalanya kelam kabut.

Semua simptom ini boleh terjadi dalam lingkungan paling sedikit hingga paling serius. Daya intelek mereka normal dan ada kalanya melebihi kanak-kanak normal. Ada kalanya kerana terlalu obses pada sesuatu perkara (misalnya seni lukis) mereka akan menjadi pelukis yang sangat hebat.

"Sindrom asperger selalunya ada sedikit kaitan dengan 'keturunan' (traits) autisme terutama dari segi kemahiran sosial yang lemah. Mereka cenderung melakukan rutin yang sama setiap hari. Apa yang membezakannya dengan kanak-kanak autisme adalah keupayaan mereka bercakap sama seperti kanak-kanak normal," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar sindrom asperger tidak diketahui, namun ia cenderung berlaku dalam keluarga yang sama. Justeru, pakar perubatan percaya genetik memainkan peranan dalam soal ini.

Simptom sindrom asperger

# Jika berbual, asyik dia saja yang bercakap tanpa mempedulikan orang lain yang ingin bercakap.

# Jika bercakap, bahasa tubuhnya tidak kena, tiada hubungan mata dan tiada ekspresi wajah.

# Terlalu mengagumi sesuatu misalnya pisau, melihat air menitik, menghafal jadual perjalanan kereta api, mengingati nama jalan atau mengumpul batu.

# Ekspresi wajahnya keras, tidak memahami, tiada simpati dan tidak sensitif pada perasaan orang lain.

# Sukar menelah ekspresi atau mood orang lain dan sukar memahami jenaka atau usikan orang keliling.

# Bercakap dengan suara mendatar, laju atau perlahan dengan intonasi yang salah

# Kelam kabut

Rawatan
Sindrom asperger adalah masalah seumur hidup. Apa yang dilakukan adalah mengawal dan memberi terapi kepada kanak-kanak ini untuk berhadapan dengan dunia yang normal.

1) Komunikasi dan kemahiran sosial
Mereka perlu diberitahu secara terus terang mengenai peraturan sosial dalam komunikasi dan pergaulan. Untuk bercakap dengan betul, mereka perlu diajar ritma, teknik, hubungan mata dan nada yang sesuai untuk berjenaka, menyindir dan berbual biasa.

2) Terapi tingkah laku kognitif
Mereka juga diajar teknik mengawal tingkah laku, minat yang keterlaluan, mengawal kemarahan dan kerisauan. Selalunya terapi ini akan mengajar mereka mengenal situasi yang boleh mengundang masalah dan bagaimana mahu menanganinya.

3) Ubat
Tiada ubat khusus untuk sindrom asperger dan ia bergantung kepada doktor yang merawat kanak-kanak itu. ~ sumber. Mayoclinic.com

Info
Kekacauan sindrom asperger dinamakan sempena pakar kanak-kanak bangsa Vienna Hans Asperger yang mengenal pasti kewujudan pola tingkah laku pelik sekumpulan kanak-kanak lelaki pada 1940. Kanak-kanak itu memiliki daya intelek normal, memiliki keupayaan bertutur yang normal tetapi memiliki kekurangan kemahiran sosial.

Artikel ini pertama kali disiarkan dalam halaman www.bharian.com.my.

No comments:

Post a Comment