Tuesday, May 27, 2014

Kental harungi cabaran, terjun ke dunia cendawan.(Inspirasi usahawan wanita)

Wanita Oh Wanita (wow).

Menukar Haluan.

Kental harungi cabaran, terjun ke dunia cendawan.

NURUL FATIHAH SULAINI.
SINAR HARIAN 
              Rohana menyusun cendawan di rumah simpanan cendawan.
Profil.

Nama: Rohana Shamsudin.

Umur: 47 tahun.

Pekerjaan: Pengusaha cendawan tiram kelabu, Mawar Merah Penanti Enterprise.

Anak: Tiga orang. (sulung berumur 23 tahun tamat Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dan dalam perancangan menyambung pengajian ke peringkat sarjana, kedua berumur 19 tahun sedang mengikuti kursus perubatan dan ketiga masih di tingkatan empat).

Asal: Perak dan kini menetap di Kampung Petani, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cabaran gentir tempuhi bidang perniagaan.

“Yakinlah setiap ujian Allah ada hikmahNya. Kita sebagai hamba perlu berlapang dada kerana mungkin ada sesuatu yang tersirat di sebalik ujian itu  memberi pengajaran berguna kepada kita,” luah Rohana Shamsudin dengan nada tenang.

Kisah perjalanan hidup saya cukup panjang, mula terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan sejak usia muda, diuji dengan pelbagai cabaran termasuk saya dan suami Mohamad Zaki Ismail, 52, pernah ditipu membabitkan wang simpanan peribadi mencecah ratusan ribu ringgit.

Saya akui, jika imam di dada tidak kuat mungkin sudah hilang pertimbangan akal, atau mungkin juga tidak waras memikirkan wang yang disimpan sejak sekian lama hasil titik peluh berniaga lesap gara-gara ditipu ketika menguruskan jual beli kereta terpakai sekitar tahun 1997.

Kebetulan ketika ditipu saya masih dalam pantang melahirkan anak ketiga dengan keadaan diri masih lemah, saya pujuk suami duit hilang boleh dicari yang penting kami masih sihat untuk memulakan kembali hidup baru.

Saya nekad walau apa cara sekalipun, selagi bernyawa saya akan terus membantu suami untuk memulihkan kembali hidup kami. Memang tidak ada orang lain yang boleh tolong selain daripada Allah. Waktu susah baru kita kenal mana kawan dan mana lawan.

Selepas habis berpantang, saya kembali melakukan rutin harian menjual barangan seperti kain, pinggan mangkuk, karpet, barang kemas di beberapa kawasan Pulau Pinang serta Kedah dengan menawarkan jualan secara hutang kepada pelanggan.

Urusan perniagaan saya buat sendiri kerana suami bekerja tukang rumah secara sepenuh masa. Walaupun anak-anak masih kecil, saya akan bawa mereka sekali ke mana sahaja saya pergi berniaga.

Kerap kali dalam kereta, ketiga-tiga anak saya terpaksa duduk berhimpit di kerusi penumpang sebelah hadapan dan duduk bersila di lantai kereta. Manakala kasut mereka diletakkan di bawah kaki saya kerana bahagian belakang penuh dengan kain untuk jualan.

Saya juga sudah terbiasa berhenti sebentar di bawah pokok untuk menyusu anak-anak ketika keluar menghantar barang kepada pelanggan. Hingga ada pengguna jalan menawarkan pertolongan kerana menyangka kereta saya rosak.

Usahakan produk kerepek pisang.

Pada awal tahun 1998, saya mula berkecimpung dalam dunia pembuatan kerepek pisang secara kecil-kecilan untuk menambah produk jualan sedia ada. Tambahan pula pada masa itu tidak banyak saingan dan permintaan meningkat.

Walaupun tidak tahu membuatnya saya tidak malu untuk belajar daripada asas cara mengupas, menggoreng hingga mampu menghasilkan tiga jenis perasa kerepek pisang iaitu manis, masin dan pedas.

Bermula dari itu, permintaan terhadap kerepek pisang meningkat hingga mencecah satu tan setiap minggu dan saya mengupah tiga orang pekerja untuk membantu menjalankan kerja berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, saya aktif mencari pasaran baru dengan meletakkan kerepek berkenaan di kedai, kantin sekolah, kantin kilang dan turut dihantar ke luar negara melalui jiran yang berada di sana.

Dalam gembira melihat pasaran kerepek keluaran sendiri makin berkembang, saya terpaksa akur untuk menghentikan penghasilan kerepek berkenaan setelah kekurangan bahan mentah daripada pembekal pisang apabila berlaku banjir besar antara tahun 2002 dan 2003.

Suami cetus idea ceburi tanaman cendawan.

Ketika perusahaan projek tanaman cendawan tiram kelabu hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat pada 2007, suami turut memberi cadangan kepada saya supaya turut mengambil peluang terlibat dalam industri tanaman berkenaan.

Berbekalkan semangat yang tinggi, kami segera menghubungi jabatan pertanian untuk mengikuti kursus pengenalan selama sehari sebelum mengusahakan projek itu di halaman belakang rumah kami.

Peringkat permulaan menceburi sesuatu bidang baru bukan satu benda mudah. Tambahan pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang suka memberi pelbagai kritikan negatif hingga kadang kala boleh melemahkan semangat.

Tidak sampai setahun berada dalam bidang ini, saya juga mula berdepan cabaran utama untuk mendapatkan bekalan bongkah serbuk kayu. Menyedari situasi itu saya mengeluarkan modal simpanan sendiri untuk membeli peralatan memproses serbuk kayu sendiri.

Syukurlah lama-kelamaan, projek tanaman semakin berkembang dan ada permintaan terhadap cendawan segar, tepung cendawan, cendawan goreng. Jabatan pertanian pada 2009 dan 2011 turut memberi bantuan tambahan peralatan untuk melaksanakan projek.

Namun sekali lagi saya diuji apabila pada 2010 dan 2011 terpaksa menanggung kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit apabila hasil tanaman rosak ekoran cuaca tidak menentu dan benih yang dibeli turut rosak.

Memang saya akui timbul rasa kecewa, sedih tetapi atas dorongan dan sokongan berterusan daripada suami saya teruskan. Suami sanggup menanggung semua kerugian yang dialami kerana dia yakin saya boleh berjaya dalam bidang tani.

Sinar baru menerangi kehidupan mereka sekeluarga.

Berkat penat lelah tanpa mengenal erti jemu, Rohana kini mampu tersenyum setelah projek tanaman yang diusahakan sejak sekian lama terus berkembang pesat dan sering menerima ramai pelawat dari pelbagai agensi melawat lokasi penanamannya.

Pelaburan masa, tenaga dan wang ringgit kini semakin berbaloi apabila kini bukan hanya sekadar menjadi pembekal cendawan tiram kelabu kepada pasar dan restoran sekitar tetapi turut membekalkan bongkah serbuk kayu kepada pengusaha cendawan lain.

Pengalaman hidup turut mengajar anak-anak saya supaya lebih berdikari dan menghargai pengorbanan kedua ibu bapa. Anak sulung serta kedua memilih melanjutkan pengajian dalam bidang yang mereka minati.

Anak sulung memilih bidang arkitek mungkin kerana terbiasa dengan kerjaya ayahnya yang membina rumah manakala anak kedua yang kini mengikuti kursus perubatan pula menyimpan hasrat untuk melakukan penyelidikan lebih mendalam terhadap kegunaan tanaman cendawan.

Ingin kembangkan projek tanaman cendawan.

Buat masa sekarang saya masih belum bersedia untuk mengambil pinjaman mengembangkan projek tanaman walaupun pernah ditawarkan beberapa institusi kewangan kerana memberi tumpuan terhadap pembiayaan pengajian anak-anak.

Namun setelah mereka menamatkan pengajian kelak, saya ingin membina sebuah lagi rumah cendawan bagi membolehkan lebih banyak tanaman cendawan dapat dihasilkan dalam satu masa.

8 Tips berjaya dalam perniagaan.
1.      Semangat dalam diri yang kuat menempuh pelbagai halangan dan cabaran.

2.      Buat kajian secara terperinci mengenai sesuatu bidang yang ingin diceburi seperti perusahaan cendawan kerana kaedah penjagaan rumit.
3.      Menguasai bidang perniagaan diusahakan bagi menyakinkan pelanggan.
4.      Tidak mudah berputus asa dan mengalah dalam mengusahakan sesuatu perkara walaupun mendapat kritikan segelintir pihak.

5.      Sentiasa jujur, ikhlas dan niat melakukan kerja kerana Allah.

6.      Mencari pasaran baru untuk meluaskan rangkaian dengan tidak hanya menfokuskan pasaran sedia ada.

7.      Sokongan positif daripada ahli keluarga terdekat.

8.      Sedia belajar ilmu baru dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya sekadar berharap kepada nota yang diberi semasa kursus.


No comments:

Post a Comment