Thursday, May 29, 2014

TiPs ProJek MeMikat IncIk SuaMi ^_^


NURUL FATIHAH SULAINI
SINAR HARIAN

#Pernah disiarkan dalam ruangan sembang santai Sis. (Sembang, inspirasi, santai) Sinar Harian Utara.

 Tips rumahtangga sentiasa romantis.

kiriman : nama samaran (chuchubaran), Kedah.
-------------------------------------------------------

Walaupun usia perkahwinan masih ibarat setahun jagung namun saya tidak kisah untuk berkongsi tips rumahtangga. Ya, manalah tahu mungkin boleh dijadikan rutin untuk kita menempuhi hidup sehari-hari bergelar pasangan suami isteri.
Sebelum bercerita lanjut mengenai tips yang bakal saya kongsikan ini, terlebih dahulu ucapan penghargaan dan setinggi terima kasih saya ucapkan kepada kakak kedua yang tidak lokek berkongsi ilmu rumahtangga.

Melalui pengalaman saya sendiri dan hasil perkongsian maklumat dengan kakak kedua itu saya praktikkan semuanya sejurus selepas bergelar isteri kepada suami tercinta. 
Benarlah kata orang zaman bercinta dan zaman bergelar suami isteri  banyak perbezaannya justeru itu seperti saya katakan tadi persediaan mental dan fizikal paling utama.

Secara mudahnya antara tips yang saya sering amalkan adalah  terima dan menghormati rakan suami seperti mana saya mahukan suami hormati rakan saya juga. 
Seterusnya yang memang menjadi amalan wajib saya dan suami adalah setiap kali sebelum tidur suami akan mencium dahi, kedua pipi , hidung dan seterusnya membisikkan ke telinga ucapan "selamat malam....Assalamualaikum cinta" dan sekali lagi mencium dahi saya.
 Lalu saya pula akan bersalaman dengan suami sambil memohon ampun maaf dan mencium kedua belah tangan suami dan diikuti kedua pipi dan dahinya pula.

Hal ini turut berlaku walau pun ada ketika kami pernah berhadapan situasi perhubungan jarak jauh "PJJ ".Saya atau suami akan menelefon dan kami akan memohon maaf melalui telefon dan ayat yang takkan pernah suami lupakan "Assalamualaikum Cinta ".Kadang kala tersenyum sendirian juga teringatkan hal romantik macam ini.

Kami juga sering berbual sebelum tidur. Kami ambil masa sedikit sebelum masing-masing melelapkan mata membincangkan hal berkaitan seperti perancangan masa depan dan sebagainya.
 Melainkan terlalu letih sangat, kami sekurang-kurangnya akan memberitahu masing-masing bahawa kepenatan atau keletihan serta saling memahami antara satu sama lain.

Sebagai isteri pula saya juga amalkan mempelajari masakan baru yang difikirkan boleh menambat selera suami. Hujung minggu adalah masa yang paling sesuai untuk saya lakukan kerana waktu seperti itu sangat bertepatan kalau hendak mencuba  masakan yang memerlukan "extra efforts". 
Perkenalkan masakan baru yang belum pernah suami cuba. Berkongsi resepi sesama kawan InsyaAllah hasilnya memuaskan.

Selain itu saya juga amalkan mencuci rambut, memotong kuku ,scrub badan dan facial untuk suami. Kadangkala aktiviti seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan kita kerana
masing-masing akan bergurau senda sewaktu aktiviti ini dijalankan. Tidak dilupakan juga saya juga akan mengurut suami sekiranya ada masa terluang.

Sambil menonton tv adakalanya saya amalkan mengurut bahagian dahi dan kening suami dengan menggunakan minyak baby. Kaedah ini akan mengurangkan kesakitan di bahagian kepala dan sekaligus melancarkan peredaran darah di bahagian muka dan InsyaAllah suami akan tidur dengan nyenyaknya.

Antara tips lain lagi yang paling penting fahami diri pasangan masing-masing dan elakkan sifat penting diri. Belajar sukakan perkara yang diminati pasangan. Pendek
kata tidak salah sekiranya kita memberi ruang masa lebih kepada pasangan demi kebahagiaan bersama.

Lakukan juga aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan sewaktu zaman bercinta seperti mengunjungi  tempat zaman bercinta. InsyaAllah "sentimental value " dan
kenangan manis zaman bercinta akan menyemarakkan lagi hubungan kita suami isteri.

Perkara paling mustahak yang harus diamalkan adalah hormati pasangan dan jangan lakukan apa-apa perkara yang tidak disukai. Macam saya suami tidak suka kalau menyentuh beg duitnya dan mungkin ada kalangan anda menyangka saya terlalu bodoh untuk mempercayai suami. 
Mungkin suami ada menyembunyikan sesuatu daripada saya melalui amaran itu akan tetapi bagi saya pula antara lelaki dan perempuan pemikiran kita jauh berbeza.

Suami tidak suka saya menyelongkar beg duitnya kerana sekiranya perlukan duit saya perlu beritahu dan tidak perlu sampai menyelongkar kerana menyelongkar itu seperti pencuri yang ingin mengambil tanpa pengetahuan.Pernah juga saya curi-curi menyelongkar juga beg duitnya dan perbuatan saya dapat dihidu suami.

Selang beberapa hari barulah suami memberitahu bahawa tidak perlu sampai menyelongkar kerana kepercayaan adalah akar pohon keyakinan dan kalau akar tunjang masih belum cukup meyakinkan, sehingga perlu memecahkan tanah menggali melihat ke dasar akar, apa gunanya menyemai pohon. Begitu mendalam kata-katanya dan sejak itu saya tidak lagi pernah menyelongkar beg duitnya.

Sebenarnya banyak lagi cara ataupun kaedah mahu pun tips yang boleh kita lakukan untuk memastikan keharmonian rumah tangga kita. Jangan lupa walaupun sudah berumahtangga teruskan menghantar mesej atau ayat  romantik terhadap pasangan masing sebagai penghargaan kehadiran dan demi membuktikan betapa bermaknanya mereka dalam hidup kita.

Ingat jangan hanya memikirkan siapa yang harus memulakan langkah terlebih dahulu sebaliknya apa pun jua yang dilakukan demi kebahagiaan bersama. Tidak hilang maruah kita sekiranya  memulakan dulu apa jua langkah demi rumahtangga kita. Buang jauh-jauh sifat ego, riak serta tinggi diri dalam hidup berumahtangga.

Tips tambahan sekali sekala sewaktu makan suapkan pasangan makanan yang kita makan, minum pada bekas yang sama, panggil pasangan dengan gelaran yang sedap dan sejuk bila kita panggil, raikan hari bertuah pasangan atau sekali sekala beri kejutan terhadap pasangan, kepada isteri di luar sana tidurlah dalam keadaan tangan menggenggam dan memeluk tangan suami.

Hargai setiap apa yang dilakukan pasangan dan jangan mengeluh serta jangan sesekali cuba membandingkan pasangan sendiri dengan pasangan orang lain, paling utama jangan perlekehkan pasangan sama ada dalam keluarga mahu pun di mana sahaja .
Apa pun jua saya sekadar berkongsi apa yang saya alami dan lakukan selebihnya tepuk dada tanya selera, pupuk hati sayangi pasangan.

end/

##notakaki##boleh sama2 mencuba yea ^_^

No comments:

Post a Comment