Tuesday, May 27, 2014

Puas hati ada butik sendiri. (Inspirasi).

SiS: Puas hati ada butik sendiri
RINGKAS dan kecil molek sahaja orangnya tapi siapa tahu, Rabiatul Adawiyah Mohd Saad, 25, adalah pemilik butik maya yang menjual rekaan eksklusif busana Muslimah secara online.

Menggunakan laman ‘facebook’ untuk berinteraksi, jenama Qamraa yang tercetus daripada idea ibu tersayang, Norida Baharum, 47, membawa maksud cahaya bulan dalam bahasa Arab kini mampu melebarkan sayap hingga ke Brunei dan Singapura.

Bermula ketika belajar di UiTM

Jika disusuri semula cerita penglibatannya dalam perniagaan busana dalam talian, isteri kepada Muhamad Aizat Jawari, 25, ini memberitahu, dia mula menjual pakaian rekaan sendiri ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, beberapa tahun lalu.

“Saya memang minat menjahit mungkin kerana dipengaruhi mama yang sama-sama berminat dalam dunia jahitan. Pada mulanya, saya reka dan jahit busana dan tudung ikut cita rasa sendiri untuk jualan talian secara kecil-kecilan.

“Maklum balas diterima amat menggalakkan, hasil rekaan yang ringkas dipadankan dengan warna lembut mengikut trend semasa menarik minat ramai golongan muda termasuk kalangan pelajar serta pekerja,” katanya yang mendirikan rumah tangga Jun lalu.


Akauntan hanya 8 bulan

Selepas tamat pengajiannya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Matematik ini bersama suaminya yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Maklumat UiTM mengisi masa mengikuti kelas menjahit sebelum majlis konvokesyen.

“Saya hanya sempat menjadi akauntan di salah sebuah syarikat antarabangsa selama lapan bulan, manakala suami pula hanya sempat bergelar jurutera empat bulan sahaja sebelum kami tekad untuk berhenti kerja," katanya.


Modal awal perniagaan RM10,000

Walaupun keluarga berat hati pada mulanya untuk melepaskan anak mereka bekerja sendiri, akhirnya akur untuk menyumbangkan RM5,000 setiap keluarga bagi menambah modal meluaskan perniagaan busana itu.

“Syukurlah hasil penat lelah saya dan suami akhirnya berjaya membuka sebuah butik pada 17 Ogos lalu di Alor Setar. Kami bercadang menambah cawangan di Kuala Lumpur.

“Kami juga gembira kerana secara tidak langsung dapat membantu orang lain mendapat peluang kerja. Setakat ini kami mempunyai sembilan orang kakitangan dengan tiga daripadanya adalah ibu tunggal,” katanya.

No comments:

Post a Comment